SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan lima kes rampasan cip kecerdasan buatan (AI) termaju tahun ini dengan nilai keseluruhan melebihi RM100 juta, termasuk rampasan terbaharu 30 unit pelayan bernilai RM49.5 juta di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG Tuah berkata, rampasan terbaharu itu dilakukan pada 15 Oktober lalu, kira-kira pukul 11.30 pagi, selepas sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan memeriksa sebuah gudang di zon berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan menemukan 30 unit pelayan yang mengandungi Advanced Ai Chip dibawa masuk dari sebuah negara di Asia sebelum dieksport semula ke negara lain di rantau sama.