KUALA LUMPUR: Jerebu rentas sempadan menjejaskan operasi 69 peratus tapak industri yang menyertai tinjauan Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), dengan gangguan terhadap tenaga kerja, pengeluaran dan penghantaran antara kesan utama yang dilaporkan.

Tinjauan FMM terhadap 86 tapak antara 12 hingga 21 Oktober lalu mendapati, 26 peratus responden berdepan gangguan operasi pada tahap sederhana atau ketara, manakala 65 peratus terjejas sejak Ogos atau September lalu.

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok, berkata jerebu rentas sempadan adalah cabaran serantau berulang yang memerlukan tindakan lebih tegas dan penyelarasan lebih menyeluruh antara negara.

"Dari tahun ke tahun, Malaysia dan negara jiran terus mengalami kesan jerebu rentas sempadan. Selain kemerosotan alam sekitar, jerebu menjejaskan kesihatan manusia, kesejahteraan pekerja, produktiviti industri dan aktiviti ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.