SHAH ALAM - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan rundingan antara pihaknya dengan MCA berhubung agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berakhir positif.Menerusi hantaran ringkas di Facebook, Ahmad Zahid kelihatan mesra berjabat tangan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di bangunan Parlimen sambil disaksikan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menandakan kedua-dua pihak mencapai kesepakatan dalam mendepani pilihan raya tidak lama lagi."Jangan risau, semuanya baik-baik sahaja."Kita geng biru," katanya pada Rabu.Ahad lalu, Ka Siong bersama kepimpinan MCA bertindak meninggalkan majlis pengumuman calon BN yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebelum ucaptama Ahmad Zahid dan kemudiannya mengadakan sidang akhbar di luar dewan.Kata beliau, MCA tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN tanpa mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi.Jelasnya, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan parti merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi apabila kerusi sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.Susulan itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa BN masih membuka ruang rundingan dengan MCA berhubung senarai calon yang diumumkan bagi PRN Melaka sebelum hari penamaan berlangsung.Ka Siong baru-baru ini turut mengulas pertemuannya bersama pimpinan BN pada Isnin lalu.Jelas beliau, pertemuan yang bermula kira-kira jam 11 malam dan berakhir sekitar 1 pagi itu dihadiri Zambry serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel di Kuala Lumpur.