PETALING JAYA – “Rupanya kita rindu langit biru. Alhamdulillah, dah dua hari rasa sebak lihat langit, sedut udara segar tanpa ancaman jerebu.”
Demikian luahan kebanyakan rakyat Malaysia yang berkongsi perasaan masing-masing apabila melihat langit di sekitar Lembah Klang kembali cerah selepas sekian lama diselubungi jerebu.
Pemandangan langit membiru, awan putih yang jelas kelihatan serta panorama ibu kota yang kembali memukau mengundang keterujaan pengguna media sosial yang tidak melepaskan peluang berkongsi keindahan itu.
Menerusi platform Threads, pengguna, @Asyraf meluahkan rasa syukur dan lega apabila pemandangan bangunan ikonik negara yang sebelum ini terlindung di sebalik jerebu kembali dapat dilihat, malah dia seakan-akan tidak percaya menyaksikan perubahan tersebut.









