PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri terutama mencabar kelompok hadapan pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu mahu bangkit daripada kekecewaan di GP Australia minggu lalu apabila sekadar layak di petak ke-25 pada penampilan sulungnya di Litar Phillip Island sebelum perlumbaan dibatalkan susulan cuaca buruk.

Justeru, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mahu memulakan saingan dengan aksi terbaik menerusi sesi latihan bebas pada Jumaat bagi mencari tetapan jentera terbaik sebelum memburu kedudukan lebih baik pada sesi kelayakan, Sabtu.

Lebih penting, Hakim Danish berharap dapat menterjemahkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri dengan keputusan positif, sekali gus membuka peluang untuk mencabar podium pada perlumbaan, Ahad.