MELAKA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam mengumumkan agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Bhd berjumlah RM190.6 juta.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak RM63.7 juta atau 50.2 peratus, berbanding RM126.9 juta agihan keuntungan interim 1/2026 yang dibayar kepada peserta pada Julai lalu.

"Agihan bagi tempoh Mei hingga Ogos 2026 ini akan memberikan manfaat kepada hampir 72,000 peserta melibatkan 734 projek di seluruh negara, dengan pembayaran kepada peserta yang layak akan dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini," katanya.