Kuala Lumpur: Sebanyak 11 barangan keperluan asas akan dikawal harganya mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali bermula 4 hingga 10 November hadapan.
Berbanding sembilan barangan kawalan tahun lalu, sebanyak 11 jenis barangan disenaraikan pada Deepavali kali ini, selain penambahan dua barangan baharu iaitu santan dan ubi kentang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, barangan lain yang tersenarai di bawah skim ini adalah bawang merah besar, bawang kecil India, bawang merah kecil (ros), cili merah, kambing biri-biri bertulang import, kacang dal (Australia), kelapa biji (peringkat borong sahaja), kelapa parut (peringkat runcit) dan tomato.









