Putrajaya: Dua sindiket penipuan dalam talian yang ditumpaskan di Seri Kembangan, Selangor dan Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur dipercayai menyediakan pasport palsu serta tiket penerbangan ke luar negara sebagai persediaan melarikan diri sekiranya kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pemeriksaan di lokasi serbuan menemukan tiga buku pasport Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS), sekali gus menimbulkan syak wasangka ahli sindiket sudah membuat persediaan awal untuk melarikan diri.
Menurutnya, dokumen berkenaan yang belum dicetak butiran pemegangnya ditemukan ketika operasi khas membanteras kegiatan penipuan dalam talian.
Katanya, tiket penerbangan ke Jepun, Korea Selatan dan AS turut ditemukan.








