MEXICO CITY: Juara dunia Formula Satu (F1) dua kali, Fernando Alonso mempertahankan kritikannya terhadap tahap pemanduan pemandu di kelompok belakang grid selepas kenyataannya mencetuskan reaksi kurang senang dua pemandu Williams, Carlos Sainz dan Alex Albon.
Alonso sebelum ini mendakwa tahap pemanduan dan bakat dalam kelompok sepertiga terbawah grid berada pada tahap rendah susulan insiden perlanggaran dengan Albon pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di Austin, hujung minggu lalu.
Pemandu Aston Martin itu yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 manakala Albon di kedudukan ke-17, bagaimanapun tidak berganjak daripada pendiriannya menjelang GP Mexico City di Autodromo Hermanos Rodriguez.
"Saya masih berasakan perkara sama. Saya rasa kita semua tahu siapa yang terasa dengan kenyataan itu. Itu sudah cukup menjelaskan segalanya," katanya kepada pemberita.






