REMBAU – Di sebalik segala penderitaan yang dialami, seorang pesakit kanser, Md. Azman Ali, 50, tetap mampu tersenyum apabila dia menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Lawatan Prihatin Skuad Perkeso Prihatin Negeri Sembilan di kediaman ibunya di Sungai Layang, di sini semalam.

Kunjungan itu hanya sehari selepas kisah Azman yang terpaksa meraih ihsan ibunya selepas dia menderita kanser hati tahap empat selain kanser usus disiarkan Kosmo! semalam.

“Saya rasa nasib saya terbela apabila ada pihak yang mengambil berat tentang keadaan kami,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, keprihatinan Perkeso itu sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada­nya terutama ketika berdepan ujian kesihatan selepas disahkan menghidap dua jenis kanser.