PUCHONG – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut melaksanakan kesiapsiagaan melibatkan kawasan jarang berlaku banjir, biarpun jangkaan bencana pada tahun ini tidak seteruk seperti yang berlaku pada 2021.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, kesiapsiagaan oleh pihak Nadma bersama agensi-agensi yang terlibat dilaksanakan mengikut standard pengurusan banjir seperti biasa.

“Ramalan kurang (tidak teruk), tapi persiapan dan kesiapsiagaan kita tak kurang, tetap sama sahaja standard walaupun diramalkan kurang (kesan banjir).

“Saya lebih risau kalau terjadi sebaliknya sebab pengalaman saya hampir lima tahun menguruskan Monsun Timur Laut (MTL) dan banjir ini, yang merisaukan ialah kawasan jarang banjir. Kadangkala kawasan itu kurang buat persiapan.