Kelantan menjangkakan dua syarikat tempatan memulakan perlombongan unsur nadir bumi (REE) tahun depan manakala Kedah menggesa Putrajaya mempercepat penggubalan dasar industri itu bagi membolehkan negeri menjana hasil baru.

Perkembangan itu berlaku ketika empat negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) dalam kerjasama ekonomi SG4 kembali menggesa supaya diberi kawalan lebih besar terhadap sumber asli dan keutamaan pembangunan masing-masing.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dipetik media tempatan berkata kelewatan penetapan dasar persekutuan menghalang pelaburan dan menangguhkan peluang negeri menjana hasil.

BH Online melaporkan Sanusi memaklumkan beberapa syarikat di Kedah sudah menyelesaikan penerokaan REE dan bersiap sedia untuk beralih kepada perlombongan.