KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Negeri Pahang dilantik sebagai Exco Skuad Sahabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) peringkat pusat.

Penyerahan lantikan itu dibuat kepada pengerusinya, Daniel Khoo Jian Woon daripada Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli sebagai tanda jalinan kerjasama dengan pengerusi Skuad Sahabat JPJ negeri dan JPJ bagi meningkatkan usaha keselamatan jalan raya di seluruh negara.

Khoo dalam satu kenyataan berkata, pelantikan tersebut merupakan amanah dan komitmen buat dirinya dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan jalan raya.

“Keselamatan komuniti dan keselamatan jalan raya amat berkait rapat. Saya berharap dapat menggabungkan pengalaman dan rangkaian kerja keprihatinan komuniti bersama Skuad Sahabat JPJ peringkat pusat dan rakan-rakan di negeri bagi menyebarkan mesej keselamatan jalan raya ke seluruh komuniti, meningkatkan kesedaran orang ramai dan membantu mengurangkan kemalangan jalan raya,” katanya.