ALOR GAJAH: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berang selepas dihalang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada memasuki Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, hari ini.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat hadir bagi mengiringi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan, Datuk Abu Hakim Abdul Wahid, untuk proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun, tindakan petugas SPR menghalang beliau daripada memasuki PPC itu mencetuskan pertikaman lidah antara Tok Mat dan pegawai terbabit.
Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, Mohamad mempersoalkan tindakan itu memandangkan beliau mempunyai pas yang dikeluarkan SPR.









