Calon Pakatan Harapan bagi DUN Tanjung Bidara Yunazri Mustamiri akan berentap menentang calon Barisan Nasional Ab Rauf Yusoh yang akan mempertahankan kerusi itu pada PRN Melaka.AYER KEROH: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Tanjung Bidara Yunazri Mustamiri akui berdepan laluan sukar untuk menewaskan penyandang Ab Rauf Yusoh namun menganggap ia tidak mustahil untuknya mencipta kejutan pada PRN Melaka kali ini.

Yunazri, 36, berkata dia mungkin dilihat sebagai ‘underdog’ berdasarkan perkiraan di atas kertas, tetapi peluang untuk muncul sebagai ‘giant killer’ tetap terbuka sekiranya jentera parti bekerja keras sepanjang tempoh kempen.

"Atas kertas, kita nampak agak sukar, tetapi perkara ini bukan mustahil. Apa yang perlu kami lakukan ialah berusaha bersungguh-sungguh sepanjang tempoh kempen dan meraikan demokrasi," katanya ketika ditemui media selepas proses penamaan calon di Dewan Datuk Kapt (B) Haji Ab Karim, Kompleks Japerun Tanjung Bidara.