ALOR GAJAH: Calon Pakatan Harapan (PH), Yunazri Mustamiri tidak menyangka beliau akan dicalonkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini selepas sebelum ini membuat persiapan untuk bertanding di DUN Lendu.
Yunazri berkata, beliau hanya mendapat maklumat mengenai pertukarannya ke Tanjung Bidara kira-kira tiga hingga empat minggu lalu, sekali gus menyaksikannya berdepan satu lawan satu dengan penyandang yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Menurutnya, perubahan itu menyebabkan beliau perlu menyesuaikan gerak kerja kempen di kawasan baharu, namun jentera yang selama ini bersamanya masih terus memberikan sokongan dalam menghadapi pilihan raya tersebut.










