SKMM berkata, kerajaan terus komited perkukuh industri pos dan kurier melalui pembaharuan kawal selia, kerjasama strategik dan transformasi digital. (Gambar Envato Elements)PETALING JAYA: Inisiatif antipenipuan Parcel Shield dilancarkan hari ini bertujuan memperkukuh kerjasama industri pos, kurier dan e-dagang dalam menangani ancaman penipuan berkaitan bungkusan.

Inisiatif yang diterajui Postal Forum, badan kawal selia kendiri dilantik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), itu dilancarkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, sempena sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC) di sini.

Menurut Postal Forum, inisiatif itu diperkenalkan susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ancaman penipuan berkaitan bungkusan termasuk penipuan pembayaran semasa penghantaran (COD), notifikasi penghantaran palsu, cubaan pancingan data (phishing) dan penyamaran sebagai syarikat kurier yang sah.