Beijing: Tidak pernah melupakan insan yang pernah membantunya ketika kesusahan, lelaki kurang upaya (OKU) di China membalas kebaikan wanita berkenaan dengan menghulurkan wang 1,000 yuan (kira-kira RM609.24) selepas mengetahui dia berdepan kesukaran hidup.

Tindakan itu dilakukan lapan tahun selepas wanita terbabit membantunya mendapatkan makanan ketika dia bergelut meneruskan hidup, sekali gus mencetuskan kisah persahabatan luar biasa antara mereka.

Wang Shuming mengambil keputusan mengunjungi Zhu Xuewei pada 17 Oktober lalu selepas mengetahui wanita itu dalam kesusahan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Ketika mengunjungi kedai pakaian milik Zhu di Wuhan, Wang secara senyap meninggalkan sampul merah berisi wang 1,000 yuan dengan harapan dapat meringankan beban wanita berkenaan.