Seramai 17 lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 43 tahun ditahan dalam serbuan di apartmen mewah di ibu negara pada Khamis lepas, menurut polis. (Gambar Rawpixel)PETALING JAYA: Polis menahan 18 warga Taiwan disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai polis Hong Kong dalam serbuan di ibu negara pada Khamis lepas.

Ketua Polis Dang Wangi Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, 17 lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 43 tahun ditahan dalam serbuan di dua unit apartmen mewah pada 6.35 petang, selain 69 telefon bimbit, lima komputer riba dan dua baju seragam polis Hong Kong dirampas.

“Berdasarkan barang kes yang ditemukan, sindiket ini disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan dengan menyamar sebagai anggota polis Hong Kong dan menyasarkan mangsa dari negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.