PUTRAJAYA: Program Ceritaku@Sekolah 2026 bukan sekadar memupuk budaya membaca, malah memperkasa pelajar dengan kemahiran menilai dan menapis maklumat bagi mendepani lambakan maklumat serta penyebaran berita palsu.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, keupayaan mencari, menilai kesahihan sumber dan mengenal pasti maklumat palsu penting bagi membentuk generasi muda yang berfikiran kritis.
Katanya, kemahiran literasi maklumat perlu diperkukuh sejak di bangku sekolah supaya pelajar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat.
“Melalui pendedahan ini, kita berhasrat untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja celik ilmu, malah bijak, beretika dan berintegriti dalam menguruskan maklumat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Ceritaku@Sekolah 2026 di sini, hari ini.










