Ampang : Pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy berharap isu penerbit atau produksi memohon tajaan untuk kerja penggambaran tidak perlu diperbesarkan atau dipandang negatif oleh pengguna akaun di media sosial.
Zul Huzaimy atau nama sebenarnya Zul Huzaimy Marzuki, 47, berkata, dia juga mengalu-alukan jika ada peniaga yang mahu menaja produk atau makanan untuk produksi drama arahannya.
Menurutnya, pihak produksi bukan sekadar menerima tajaan sebaliknya menjalinkan hubungan persahabatan serta turut membantu 'bisnes' penaja atau peniaga terbabit.
"Alhamdulillah, kalau ada orang mahu menaja produk atau makanan untuk produksi dan kita pula akan cuba membantu mereka semula. Maksudnya, apabila seseorang sudah membantu produksi, ia dapat mengurangkan kos makanan sepanjang beberapa hari dan sudah tentu sumbangan itu sangat bermakna.









