KUCHING: Syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak, AirBorneo secara rasmi membuka jualan tiket bagi laluan terus baharunya yang menghubungkan Kuching dengan ibu negara Indonesia, Jakarta bermula 13 November.

Laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta itu akan beroperasi tiga kali seminggu pada Isnin, Jumaat dan Ahad dengan tambang sehala termasuk semua caj bermula RM399 bagi Kelas Ekonomi dan RM888 bagi Kelas Perniagaan.

Penerbangan pertama (MY 396) pada 13 November akan berlepas dari Kuching pada 3.10 petang manakala penerbangan pulang (MY 397) dari Jakarta berlepas pada 4.55 petang waktu tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Aminuddin, berkata laluan baharu itu menandakan pencapaian penting dalam usaha memperluas rangkaian penerbangan serantau syarikat penerbangan itu merentasi pintu masuk utama di ASEAN.