Sepang: Seorang kakitangan sementara yang disyaki terbabit dalam penjualan pas palsu Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 ditahan polis semalam, menurut Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
SIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan penahanan itu susulan siasatan dalaman dengan kerjasama polis, manakala tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan, yang diambil bekerja sebagai kakitangan sementara khusus untuk acara itu, sedang berjalan.
"Bertentangan dengan khabar angin yang tersebar dalam talian, individu yang terlibat bukan Aqil. Suspek merupakan kakitangan sementara yang diambil bekerja khusus untuk acara ini," menurut kenyataan itu.
Pengurusan litar itu memaklumkan pas berkenaan tidak pernah diluluskan untuk dikeluarkan atau dijual kerana pas acara hanya diperuntukkan kepada petugas acara yang diberi kuasa dan tidak ditawarkan kepada orang awam untuk pembelian.









