PETALING JAYA – ParkIt Malaysia tidak mengutip sebarang bayaran parkir di Stesen MRT Maluri buat masa ini, malah tidak membenarkan mana-mana pihak mengutip bayaran bagi pihak berkenaan.

Menerusi hantaran Thread, ParkIt Malaysia menjelaskan, seorang individu lelaki memakai baju-T ‘SECURITY’ yang tular di media sosial meminta bayaran RM5 di pintu masuk parkir MRT Maluri pagi tadi juga bukan kakitangan atau wakil ParkIt.

“Kain rentang diletakkan di depan Park N Ride Maluri juga bukan diletakkan oleh ParkIt.

“Tindakan kami hari ini ialah, laporan polis tengah dibuat, video dan bukti telah diserahkan kepada pihak berkuasa serta memaklumkan kepada MRT Corp, Rapid KL, PDRM, dan DBKL.

“Malah, wakil Rapid KL dan Polis Bantuan Prasarana juga telah datang ke lokasi berkenaan,” katanya pada hantaran tersebut hari ini.