KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan bersama dua figura yang dianggap 'sifu' dalam industri seni kreatif tanah air, iaitu penerbit dan pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam serta maestro muzik, Datuk M Nasir.
Menerusi perkongsian Threads, Fahmi berkata, mereka bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa industri filem dan muzik tempatan, selain membincangkan usaha memperkukuh bakat serta karya anak tempatan.
"Kami berbincang soal perkembangan industri filem dan muzik tempatan, serta bagaimana bakat dan karya Malaysia boleh terus diperkukuh," kongsinya pada hantaran yang dimuat naik, malam tadi.
Menurut Fahmi, Kerajaan juga akan membantu menyokong kandungan dan harta intelek (IP) tempatan untuk dikembangkan sehingga menembusi pasaran antarabangsa.









