PASIR MAS: Lapan wanita warga asing didenda antara RM6,000 hingga RM10,000 seorang oleh Mahkamah Sesyen, hari ini kerana memasuki negara ini secara haram dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Empat warga Myanmar, tiga warga Indonesia dan seorang warga Vietnam itu, dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zulkpli Abdullah.
Enam daripada mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah, manakala dua lagi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.
Enam wanita itu masing-masing didenda RM6,000, manakala dua lagi dikenakan denda RM10,000 setiap seorang atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.










