KUALA LUMPUR - Selempang tertera harga antara RM100 hingga RM3,000 yang dipercayai menjadi petunjuk kadar bayaran untuk mendapatkan khidmat wanita warga asing dikesan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang di sini, awal pagi Sabtu.Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, pemerhatian awal mendapati selempang berkenaan tertera harga berbeza-beza, termasuk RM1,000, RM500 dan RM100."Selempang itu dipercayai digunakan untuk menunjukkan kadar bayaran yang dikenakan kepada pelanggan bagi mendapatkan khidmat wanita di premis berkenaan."Bagaimanapun, kegiatan yang dijalankan di pusat hiburan ini masih dalam siasatan pihak imigresen," katanya pada sidang media, Sabtu.Hamsha berkata, dalam operasi bermula kira-kira jam 12.30 pagi itu, seramai 68 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen."Mereka yang ditahan terdiri daripada 54 warga Thailand, termasuk tujuh lelaki dan 47 wanita, serta 14 lelaki warga Bangladesh. Kesemua individu itu berusia antara 20 hingga 55 tahun."Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah penyalahgunaan pas lawatan dan pelanggaran syarat pas kerja, termasuk bekerja di pusat hiburan menggunakan pas yang dikeluarkan bagi pekerjaan lain," katanya.Mengulas lanjut, Hamsha berkata, risikan selama dua hingga tiga bulan dijalankan susulan aduan orang awam dan agensi berkaitan sebelum operasi dilaksanakan."Seramai 113 individu diperiksa, manakala lima borang saman dikeluarkan kepada saksi bagi membantu siasatan."Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut," katanya.