Johor Bahru: Lima warga asing terdiri daripada empat warga China dan seorang warga Taiwan, masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pakatan jahat membabitkan skim pelaburan dalam talian tidak wujud.

Tertuduh, Sun Chang, 32; Chih Hsien-Lung, 41; Fang Peihang, 36; Lyu Yahui, 36; dan Fang Peipei, 33, dijatuhi hukuman itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nor Zihan Abdul Rahman.

Nor Zihan turut memerintahkan mereka masing-masing dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa berpakat jahat dengan bersetuju melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu menipu pelabur menerusi pelaburan dalam talian tidak wujud.