PETALING JAYA: Pelaksanaan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang diperluas kepada parti pembangkang mampu membuka ruang kepada kesemua 218 ahli Parlimen untuk memainkan peranan dalam memperkukuh amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau menyambut baik pendirian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong pelaksanaan CSA serta mencadangkan kerjasama itu diperluas kepada parti-parti pembangkang.

Katanya, pendekatan tersebut bukan sesuatu yang baharu kerana kerjasama seumpama itu pernah dilaksanakan ketika UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan pada penggal lalu.