Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, CSA tidak menyalahi undang-undang dan ruang masih ada untuk lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang menandatanganinya.BUKIT BERUANG: Jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil membidas kritikan Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan tujuh Ahli Parlimen pembangkang, mengingatkannya bahawa CSA pertama dimeterai pada 2021 ketika timbalan presiden PAS itu sendiri menganggotai Jemaah Menteri.

Menteri komunikasi itu mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang menyifatkan CSA tidak wajar dijadikan budaya politik baharu kerana dilihat mencabuli mandat rakyat.

“Apa yang beliau cakap ni? Jemaah Menteri yang beliau sendiri anggotai yang mulakan budaya itu,” kata Fahmi kepada pemberita selepas menghadiri program keselamatan Internet di MMU Kampus Melaka.