KULAI – Pengguna media sosial diingatkan supaya berhati-hati terhadap taktik penipuan terbaharu yang mengeksploitasi teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi situasi sedih bagi meraih simpati orang ramai dalam usaha mengutip derma palsu.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, biarpun masyarakat Malaysia terkenal dengan sikap prihatin, namun amalan murni tersebut kerap dieksploitasi oleh pihak yang mempunyai niat jahat.
Beliau berkata, sehubungan dengan itu, netizen perlu meningkatkan celik digital dan membuat semakan sebelum memberi sebarang sumbangan agar keprihatinan dan rasa simpati tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Jadi berhati-hati, silalah buat semakan fakta baik-baik kerana AI memang satu (cabaran), tetapi sebelum ini kami juga banyak menerima aduan daripada pengguna yang gambar mereka disalah guna,” katanya kepada pemberita selepas melawat SJKT Ladang Kulai Besar, di sini hari ini.






