SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) yakin sokongan pengundi di kerusi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kekal positif hasil gerak kerja lapangan dan khidmat kepada rakyat dilaksanakan calon serta parti sejak empat hingga lima tahun lalu.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keyakinan itu bukan bersandarkan tempoh berkempen selama dua minggu semata-mata, sebaliknya hasil usaha berterusan parti menyediakan sokongan dan memenuhi keperluan rakyat.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, meskipun pergerakan kempen sedikit perlahan pada dua hari pertama, momentum itu akan meningkat.

Katanya, sebahagian besar kempen ketika ini turut digerakkan menerusi media sosial berbanding pertemuan secara fizikal, namun program bertemu pengundi tetap berlangsung.