BERPEGANG teguh kepada hadis sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain, Muhamad Azamuddin Mohamad Ali, 24, aktif dalam aktiviti kepimpinan, dakwah, misi kemanusiaan dan kesukarelawanan sejak tahun satu pengajian di Universiti Malaya (UM).
Pemuda berasal dari Kampung Punang, Lawas, Sarawak itu sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi menabur bakti kepada masyarakat.
Bidang penglibatan dan minatnya meliputi dakwah, pendidikan kanak-kanak, pembangunan belia, kecerdasan emosi, inovasi pendidikan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti.
“Apa yang saya lakukan ini juga sangat rapat dengan pengajian yang saya ambil ketika ini iaitu Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Dakwah dan Pembangunan Insan) di Akademi Pengajian Islam, UM.






