KUALA LUMPUR: MotoGP Sports Entertainment Group SL (MotoGP Group) menyasarkan pertumbuhan jumlah peminat di Asia Tenggara menerusi kandungan dan peluang komersial, namun tidak bercadang menambah perlumbaan di rantau ini buat masa ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Carlos Ezpeleta, berkata Malaysia kekal sebagai pasaran penting bagi MotoGP, manakala pertumbuhan kelompok peminat serantau dijangka menarik lebih ramai penonton ke Litar Antarabangsa Sepang.

"Komuniti peminat sukan permotoran terus berkembang di rantau ini, namun pertumbuhan itu tidak semestinya perlu disokong menerusi perlumbaan.

"Pertumbuhan ini boleh berlaku melalui kandungan atau peluang komersial. Semua ini akan menarik lebih ramai peminat ke Sepang," katanya dalam temu bual bersama Bernama sempena Kejuaraan Dunia MotoGP Petronas Grand Prix Malaysia di Sepang, hujung minggu lalu.