Kuala Lumpur: Bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memohon untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal bagi memudahkan beliau menghadiri beberapa program di luar negara.
Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas lima pertuduhan rasuah.
Berdasarkan afidavit sokongan permohonan diperoleh media, Shamsul Iskandar berkata, permohonan tersebut adalah bagi membolehkan beliau melakukan perjalanan ke luar negara sebagai sebahagian daripada tugasnya dengan mudah.
Shamsul Iskandar selaku pemohon berkata, dalam masa terdekat, beliau berhasrat untuk melakukan perjalanan ke Frankfurt, Jerman bagi menghadiri pesta buku bertajuk 'Frankfurt Book Fair' yang dianjurkan Rex Education, pada 7 Okt hingga 11 Nov ini.








