Olbia, Itali: Selaman rutin polis di perairan Itali membawa kepada penemuan luar biasa apabila anggota terbabit menemukan artifak purba Rom yang dipercayai tersimpan di dasar laut selama kira-kira 2,000 tahun.
Artifak berkenaan ditemukan di perairan luar pantai Porto Rotondo di Sardinia, sebuah pulau milik Itali di Laut Mediterranean, lapor agensi berita Cover Images.
Penemuan itu diumumkan Ibu Pejabat Polis Sassari pada lewat Ogos lalu.
Anggota polis yang bertugas di Olbia itu mengesan objek purba berkenaan ketika menjalankan operasi keselamatan di dalam air.
Pada mulanya, mereka ternampak serpihan terracotta (tembikar tanah liat bakar) yang pecah sebelum kembali melakukan selaman kali kedua dan menemukan beberapa vesel yang sebahagian besarnya masih utuh.






