am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis percaya pertikaian berkaitan perceraian menjadi punca seorang jururawat berusia 44 tahun ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa yang diambil selepas laporan polis dibuat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 47 tahun tidak berpuas hati dengan keputusan isterinya untuk memfailkan perceraian.

"Perkara itu dipercayai menyebabkan suspek bertindak agresif sebelum menikam mangsa berulang kali, termasuk pada bahagian badan dan leher sebanyak enam kali," katanya ketika dihubungi.