Newcastle, Australia: Demi menyelamatkan dua cucu perempuannya, seorang datuk sanggup mempertaruhkan nyawa hingga patah kedua-dua kakinya selepas menolak kanak-kanak itu ke tempat selamat ketika sebuah kereta BMW merempuh kumpulan penyokong Newcastle Knights.
Memetik laporan Daily Mail, Dave Martin yang dikenali sebagai 'Dave The Barber' dan peminat setia Knights sedang menjaga dua cucu perempuannya yang masih kecil ketika menunggu bas pasukan itu menuju ke Sydney bagi menonton perlawanan akhir NRL, pagi Sabtu lalu.
Bekas tukang gunting rambut yang baru bersara itu dilaporkan dirempuh kenderaan berkenaan selepas menolak cucu-cucunya ke tempat selamat.
Kereta BMW berwarna emas yang didakwa dipandu seorang pemandu berlesen P merah itu merempuh sekurang-kurangnya 10 orang termasuk Martin, dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan seorang kanak-kanak berusia dua tahun manakala seorang lagi lelaki turut patah tulang selangka.









