Kuala Lumpur: Barisan petarung amatur Muay Thai Selangor mula memperlihatkan taring apabila pentas Grand Finale Selangor Muaythai League Vol 5.0 yang melabuhkan tirainya semalam menyaksikan kemunculan bakat baharu yang berpotensi menjadi sandaran negeri itu pada saingan lebih tinggi.

Persaingan sengit dalam kategori amatur bukan sahaja memberi peluang kepada atlet muda menguji kemampuan, malah membuktikan Selangor mempunyai kelompok pelapis yang boleh terus digilap untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara yang mencuri perhatian ialah Aina Qaisara daripada Lekir Fight Team apabila muncul juara kategori Super 4 Amateur remaja wanita 45-50 kilogram (kg) selepas menewaskan Nur Aireen Qistina daripada Combat of Shadow Muaythai.