SHAH ALAM: Penyanyi Zaki Yamani menafikan hubungannya dengan abang, Osama Yamani, kini dingin susulan salah faham berhubung kenyataannya yang mencadangkan supaya abangnya lebih aktif menghasilkan kandungan media sosial bersama bapa mereka, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
Zaki, 20, berkata, salah faham berkenaan sudah diselesaikan selepas Osama menghubunginya secara peribadi untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataannya itu.
Katanya, Osama turut menghantar mesej panjang kepadanya yang disifatkan sebagai cukup baik, selain mengucapkan terima kasih kerana sentiasa memberikan sokongan.
"Dia ada mesej saya, hantar ayat yang sangat manis dan panjang. Dia ucapkan terima kasih kerana sentiasa menyokongnya dan berjanji akan berusaha dengan lebih gigih lagi selepas ini.










