George Town: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan dua kapal Peronda Luar Pantai (OPV) iaitu OPV 2 dan OPV 3 yang terbengkalai pembinaannya sebelum ini, akan disambung semula.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kerja penyiapan kedua kapal berkenaan akan dikendalikan syarikat baharu yang dilantik berpangkalan di Miri dan Sibu, Sarawak.

Menurutnya, proses penyiapan itu dijangka mengambil masa selewat-lewatnya 36 bulan memandangkan ia membabitkan kelancaran proses memindahkan kapal itu dari lokasinya sekarang di Klang, Selangor.

"Proses pembinaan dijangka mengambil masa paling lama 36 bulan untuk disiapkan kerana ia merangkumi keperluan mengeluarkan kapal berkenaan dari Klang untuk dibawa ke Sarawak," katanya pada sidang media sempena Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2026, di sini, hari ini.