JERANTUT: Polis menahan seorang guru lelaki didakwa melakukan amang seksual fizikal berulang kali terhadap seorang murid lelaki di sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Nor Azman Yusof, berkata ia susulan bapa mangsa berusia 42 tahun tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada jam 1.40 tengah hari 27 Oktober lalu.

Berikutan itu, beliau berkata, suspek lelaki tempatan berumur 24 tahun direman mulai 30 Oktober lalu hingga esok bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792)," katanya.