Jerantut: Polis menahan seorang guru lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual fizikal berulang kali terhadap seorang murid lelaki di sebuah sekolah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Noor Azman Yusof berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima selepas bapa mangsa berusia 42 tahun tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada jam 1.40 petang, 27 Oktober lalu.
Menurutnya, lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan reman bermula 30 Oktober hingga 4 November bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792)," katanya.








