Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan utamakan bayaran balik lebihan cukai kepada individu dan juga PMKS. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Kerajaan telah membayar balik sejumlah RM20.271 bilion lebihan cukai pendapatan, melibatkan 3.65 juta kes pembayar cukai, sehingga 31 Okt lepas.

Di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah itu, RM6.84 bilion dibayar balik kepada 3.4 juta pembayar cukai individu, manakala RM13.036 bilion kepada 206,234 pembayar cukai syarikat, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Dalam melaksanakan pembayaran balik, kerajaan mengutamakan bayaran balik lebihan cukai kepada individu dan juga syarikat PMKS,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan.