Kuala Lumpur: Anak prasekolah dilaporkan menghabiskan masa sekitar 6.2 jam sehari menghadap skrin peranti.
Tempoh masa itu jauh melebihi had disarankan malah ada yang mula terdedah kepada peranti digital seawal usia lapan bulan.
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr Rozita Wahab berkata, kajiannya pada 2024 terhadap kanak-kanak prasekolah berusia lima dan enam tahun di Semenanjung Malaysia mendapati golongan itu menggunakan peranti purata kira-kira 3.7 jam sehari pada hari persekolahan dan meningkat kepada kira-kira 6.2 jam sehari pada hari cuti.
Menurutnya, ada kanak-kanak yang menggunakan peranti sehingga sembilan jam pada hari persekolahan dan 14 jam pada hari cuti.








