Georgetown: Tidak ada keistimewaan atau layanan berbeza terhadap mana-mana individu termasuk wakil rakyat sekiranya didapati terbabit dalam kes keganasan rumah tangga kerana mereka juga tertakluk kepada undang-undang yang sama.
EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata kerajaan negeri kekal dengan pendirian tegas dalam menentang segala bentuk keganasan rumah tangga, selain menghormati proses siasatan serta prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.
"Pendirian kita jelas dan tidak akan berkompromi terhadap keganasan rumah tangga malah tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang.
"Pada masa sama, kita mesti menghormati proses perundangan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secara adil tanpa sebarang prasangka. Biarlah proses undang-undang menentukan tindakan selanjutnya berdasarkan fakta dan bukti diperoleh," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.








