Kuala Lumpur: Seramai 1,832 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) masih belum memenuhi satu atau lebih syarat pengesahan dalam perkhidmatan setakat 30 September lalu, dengan 1,799 daripada mereka tidak lulus peperiksaan yang ditetapkan.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan ketidaklulusan itu khususnya membabitkan elemen kefahaman dalam penilaian Program Transformasi Minda (PTM).
"Selain itu, tiga PPP dikenakan pelanjutan tempoh percubaan dengan denda, 29 PPP pelanjutan tempoh percubaan tanpa denda dan seorang PPP dalam tempoh percubaan dibekukan," menurut KPM.
KPM menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai jumlah guru yang masih belum mendapat pengesahan dalam perkhidmatan, mengikut negeri dan tempoh perkhidmatan serta faktor yang menyebabkan kelewatan proses pengesahan tersebut.









