PUTRAJAYA: Semua kementerian dan agensi kerajaan diarahkan menyemak semula Pelan Kesinambungan Perkhidmatan atau 'Business Continuity Plan' (BCP) masing-masing bagi memastikan fungsi kritikal kerajaan terus beroperasi sekiranya berlaku sebarang gangguan terhadap kemudahan penting negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata langkah itu ialah antara usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan keselamatan negara susulan ketidaktentuan global dan konflik kepentingan yang berpotensi mencetuskan pelbagai ancaman.

Beliau berkata, penilaian risiko keselamatan negara kini perlu mengambil kira ancaman bukan konvensional, termasuk serangan siber, sabotaj, penyebaran maklumat palsu, serta gangguan terhadap rantaian bekalan.