PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran acara HYROX Kuala Lumpur 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini sekiranya tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, dalam kenyataannya, berkata permohonan penganjuran acara itu masih dalam proses dan belum mendapat kelulusan KBS.
"Untuk rekod, permohonan penganjuran acara tersebut sedang diproses dan belum diluluskan. KBS tidak memberikan sebarang kelulusan atau penyaluran dana kepada acara ini.
"Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat (Edisi Ketiga, 2024) dengan jelas melarang individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan produk tembakau, rokok elektronik atau minuman beralkohol daripada menganjur, menaja, mempromosi, mengiklan atau meletakkan cap dagangan dalam aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong KBS dan agensinya," katanya.








