Tangkap layar video tular memaparkan individu mirip Ketua Pengarah AKPS Shuhaily Mohd Zain kelihatan memarahi individu lain.

KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan 25 individu berhubung kejadian membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Shuhaily Mohd Zain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Khalid Ismail, berkata polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan doktor bagi memastikan semua perkara berkaitan kes itu disiasat teliti.

Beliau pada masa sama menyeru masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi yang timbul berhubung kejadian berkenaan.

"Jadi, saya menyeru kepada masyarakat di luar sana jangan terlalu terikut-ikut dengan spekulasi yang timbul,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Jururunding Polis, di Mes Pegawai Bukit Aman.